Sunday, July 31, 2011

Berubat ketika berpuasa


Assalamualaikum. InsyaAllah post kali ini saya ingin kongsikan hal berkaitan fiqh perubatan yang melibatkan ibadah puasa. Kebanyakan isinya saya petik dari buku "Fikah Perubatan" tulisan Dr Harmy Mohd Yusoff, Ustz Syamsul Kamal Abdullah, Dr Rosediani Muhamad dan Wan Nor Ainon Wan Abdullah terbitan PTS Milennia Sdn Bhd.

Terdapat lima perkara membatalkan puasa yang umum kita ketahui, iaitu
1)Memasukkan benda ke dalam perut atau rongga badan
2)Keluarnya darah dan muntah
3)Bersetubuh dengan pasangan isteri dan perkara berkaitan
4)Murtad
5)Mengubah niat

Untuk post ini, saya cuma ingin menekankan mengenai perkara pertama, iaitu memasukkan benda selain makanan dan minuman ke dalam perut atau rongga badan. Terdapat 3 kategori pendapat para ulama mengenai perkara ini.

Pendapat pertama menyatakan rongga badan tidak terbatas kepada perut sahaja, ia merangkumi tekak, otak, saluran kencing, faraj dan lain-lain yang boleh dimasuki benda. Pendapat ini adalah pendapat mazhab Hanafi, sebahagian ulama Maliki, Syafie dan Hanbali, namun ada sedikit perbezaan dalam takrifan rongga tersebut.

Mazhab Hanafi menyatakan tidak batal puasa apabila bercelak, berbekam, memberus gigi walaupun air memenuhi mulut, berkumur dan instinsyaq (sedut air dalam hidung)secara sederhana, dimana air tidak sampai ke tekak. Mazhab Syafie mentakrifkan perkara yang sama tetapi menambah rongga telinga dan hidung.

Pendapat kedua mengatakan batal puasa seseorang apabila benda dimasukkan kedalam rongga-rongga tersebut, walaupun benda tersebut tidak sampai ke perut.

Pendapat ketiga berpendapat rongga tersebut mesti mempunyai kaitan dalam memproses makanan atau ubat-ubatan. Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qudamah antara yang menyatakan rongga yang membatalkan hanyalah perut.

Ibnu Taimiyah dari mazhab Hanbali berpendapat, "Ibadah puasa adalah salah satu fardhu ain yang perlu diketahui oleh setiap Muslim. Sekiranya ia termasuk perkara yang dilarang oleh Allah dan RasulNya serta membatalkan puasa, sudah tentu ia disebut jelas. Sekiranya Rasulullah pernah menyebutnya, sudah tentu para sahabat mengetahuinya dan menyampaikannya kepada umat, sama seperti mereka menyampaikan syariat yang lain."

Ulasan penulis mengenai pendapat pertama, menyatakan bahawa rongga yang dimaksudkan tidak berhubung dengan perut berdasarkan kajian perubatan moden. Pendapat kedua pula tidak berdasarkan nas yang jelas dari AlQuran ataupun AsSunnah. Maka pendapat ketiga adalah yang paling benar dan selari dengan nas.

Berikut adalah kaedah-kaedah rawatan yang didapati tidak membatalkan puasa:
1)Menggunakan titis telinga atau pencuci telinga
2)Menggunakan ubat titis mata dan hidung, ataupun semburan hidung, sekiranya dielakkan menelan ke halkum
3)Ubah bawah lidah (sublingual-seperti GTN) untuk merawat sakit jantung.
4)Segala rawatan kedalam faraj seperti speculum, digital examination dan IUCD
5)Memasukkan tiub atau bahan melalui salur kencing seperti urethroscope, contrast media
6)Mencabut gigi, menampal, menggosok gigi selagi tidak ditelan
7)Suntikan pada mana-mana bahagian yang tidak melibatkan organ penghadaman, kecuali parenteral nutrition seperti glukosa atau dextrosa melalui salur darah.
8)Memberi gas oksigen, bius atau selainnya
9)Menyapu ubat pada kulit atau implan yang boleh diserap kedalam kulit
10)Memasukkan tiub melalui salur darah seperti catheterization
11)Memasukkan laparoscope
12)Ubat kumur dan semburan ubat ke dalam mulut, selagi tidak ditelan
13)Memasukkan teropong perut selagi tiada sebarang cecair atau bahan rawatan dimasukkan.
14)Mengambil sampel tisu atau organ untuk rawatan (biopsy)
15)Memasukkan alat ke otak atau saraf tunjang
16)Ubat sedutan seperti inhaler, nebulizer dan sebagainya
17)Memasukkan alat atau ubat melalui dubur (anus)
18)Menggunakan bius penuh (GA)selagi pesakit tidak dalam keadaan tersebut sepanjang hari
19)Hemodialysis atau peritoneal dialysis
20)Berbekam
21)Mengambil sampel darah untuk ujian makmal, menderma darah atau menerima darah


Para fuqaha kontemporari dalam persidangan antarabangsa memutuskan bahawa kaedah-kaedah rawatan diatas tidak membatalkan puasa. Tertelan air dalam kuantiti sangat kecil ketika menggunakan inhaler atau berkumur adalah dimaafkan. Namun begitu, jika procedur diatas dapat dielakkan untuk dilakukan di siang hari, maka itu lebih baik sebagai langkah berhati-hati.

InsyaAllah, semoga perkongsian ini bermanfaat buat rakan-rakan pembaca. Sebarang teguran atau komen amatlah digalakkan. Saya kongsikan juga artikel tulisan ustz Zaharuddin berkenaan perkara membatalkan puasa. Wallahualam. ^^
Artikel Ustz Zaharuddin