Saturday, July 21, 2012

Jerawat?

Assalamualaikum.
Setelah lebih setahun tidak menulis di blog ini, insyaAllah saya cuba mulakan momentum untuk terus berkongsi ilmu perubatan, agar ilmu ini bermanfaat buat rakan-rakan pembaca.

Kali ini saya cuba kongsikan serba sedikit berkenaan jerawat, salah satu masalah yang sering mengganggu remaja diluar sana, terutama pelajar di sekolah menengah. Disebabkan dalam Special Study Module di fakulti, kumpulan saya membuat kajian berkenaan tajuk ini, maka menjadi satu tanggungjawab ke atas diri ini untuk kongsikan serba sedikit ilmu.

Jerawat mempunyai beberapa bentuk. Pertama adalah comedones, iaitu jerawat kecil yang lebih dikenali sebagai whitehead dan blackhead. Kemudian ada bentuk papules, pustules (bernanah), cyst (mengandungi cecair) dan nodules (jerawat batu?). Jerawat bukan sahaja dibahagian muka, malah di dada, bahu dan belakang badan juga.
Acne Basic

Bagaimana jerawat terbentuk?
Berdasarkan kajian-kajian, ada 4 faktor bagaimana ia terbentuk. Pertama adalah penghasilan minyak yang banyak (sebum). Kedua disebabkan oleh peningkatan bacteria Proprionobacterium acnes. Ketiga ialah pembentukan sel-sel baru menutupi rongga kulit. Yang terakhir adalah keradangan (inflammation), yang juga disebabkan oleh bacteria.

Terdapat banyak risiko yang boleh membawa kepada pembentukan jerawat. Salah satu faktor yang kuat dan signifikan adalah keturunan. Banyak kajian mnunjukkan mereka yang mempunyai ibu bapa yang berjerawat atau pernah berjerawat, akan turut mempunyai jerawat.

Adakah makanan menyebabkan jerawat meningkat? Stress?
Banyak kajian telah dilakukan dan menunjukkan keputusan yang berbeza-beza. Antara kaitan yang signifikan kepada peningkatan jerawat adalah pengambilan makanan berkalori tinggi. Susu didapati mampu memberi kesan, terutama susu skim, namun kaitannya agak lemah. Makanan yang berminyak, kacang dan coklat didapati tidak berkait penting dengan perkara ini, walaupun masyarakat selalu menyatakannya.

Stress atau tekanan perasaan didapati mampu menyebabkan peningkatan jerawat. Ada kajian dikalangan pelajar di Singapura menunjukkan hasil positif antara jerawat dan tekanan menghadapi peperiksaan. Disamping itu, jerawat juga didapati mampu menyebabkan tekanan pada orang tersebut.

Adakah jerawat boleh dirawat?
InsyaAllah boleh. Antara rawatan yang dicadangkan adalah menggunakan krim (topical treatment), dan antibiotik. Pakailah krim yang mengandungi bahan-bahan yang disenaraikan dalam website dibawah ini. Antara bahan tersebut adalah Benzoyl Peroxide, Tretinoin, Adapalene, Azelaic acid dan Tazarotene. Terdapat juga produk yang menggabungkan bahan-bahan tersebut dan didapati lebih baik.
Topical Treatment Options

Cara rawatan lain adalah physical dan laser therapy, yang boleh kita dapati daripada pakar kulit (dermatologist) yang berdekatan dengan kawasan kita. Jika mempunyai jerawat yang teruk, atau penyakit kulit yang lain, carilah mereka untuk mendapatkan rawatan terbaik.

Penggunaan pencuci muka (facial cleanser) bukanlah rawatan terbaik, tetapi mampu membantu serba sedikit dalam mengurangkan jerawat. Bergantung pada pencuci muka sahaja merupakan kesilapan yang selalu dilakukan oleh masyarakat. Krim pelembab pula boleh membantu mengurangkan kulit kering, yang boleh disebabkan oleh pencuci muka dan krim rawatan di atas

Sekiranya ada kesilapan atau pertanyaan, mohon maklumkan kepada saya. Sekadar berkongsi ilmu yang ada, semoga bermanfaat dan membantu anda.
Sumber: Clinical Practice Guideline: Management of Acne, January 2012



Sunday, July 31, 2011

Berubat ketika berpuasa


Assalamualaikum. InsyaAllah post kali ini saya ingin kongsikan hal berkaitan fiqh perubatan yang melibatkan ibadah puasa. Kebanyakan isinya saya petik dari buku "Fikah Perubatan" tulisan Dr Harmy Mohd Yusoff, Ustz Syamsul Kamal Abdullah, Dr Rosediani Muhamad dan Wan Nor Ainon Wan Abdullah terbitan PTS Milennia Sdn Bhd.

Terdapat lima perkara membatalkan puasa yang umum kita ketahui, iaitu
1)Memasukkan benda ke dalam perut atau rongga badan
2)Keluarnya darah dan muntah
3)Bersetubuh dengan pasangan isteri dan perkara berkaitan
4)Murtad
5)Mengubah niat

Untuk post ini, saya cuma ingin menekankan mengenai perkara pertama, iaitu memasukkan benda selain makanan dan minuman ke dalam perut atau rongga badan. Terdapat 3 kategori pendapat para ulama mengenai perkara ini.

Pendapat pertama menyatakan rongga badan tidak terbatas kepada perut sahaja, ia merangkumi tekak, otak, saluran kencing, faraj dan lain-lain yang boleh dimasuki benda. Pendapat ini adalah pendapat mazhab Hanafi, sebahagian ulama Maliki, Syafie dan Hanbali, namun ada sedikit perbezaan dalam takrifan rongga tersebut.

Mazhab Hanafi menyatakan tidak batal puasa apabila bercelak, berbekam, memberus gigi walaupun air memenuhi mulut, berkumur dan instinsyaq (sedut air dalam hidung)secara sederhana, dimana air tidak sampai ke tekak. Mazhab Syafie mentakrifkan perkara yang sama tetapi menambah rongga telinga dan hidung.

Pendapat kedua mengatakan batal puasa seseorang apabila benda dimasukkan kedalam rongga-rongga tersebut, walaupun benda tersebut tidak sampai ke perut.

Pendapat ketiga berpendapat rongga tersebut mesti mempunyai kaitan dalam memproses makanan atau ubat-ubatan. Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qudamah antara yang menyatakan rongga yang membatalkan hanyalah perut.

Ibnu Taimiyah dari mazhab Hanbali berpendapat, "Ibadah puasa adalah salah satu fardhu ain yang perlu diketahui oleh setiap Muslim. Sekiranya ia termasuk perkara yang dilarang oleh Allah dan RasulNya serta membatalkan puasa, sudah tentu ia disebut jelas. Sekiranya Rasulullah pernah menyebutnya, sudah tentu para sahabat mengetahuinya dan menyampaikannya kepada umat, sama seperti mereka menyampaikan syariat yang lain."

Ulasan penulis mengenai pendapat pertama, menyatakan bahawa rongga yang dimaksudkan tidak berhubung dengan perut berdasarkan kajian perubatan moden. Pendapat kedua pula tidak berdasarkan nas yang jelas dari AlQuran ataupun AsSunnah. Maka pendapat ketiga adalah yang paling benar dan selari dengan nas.

Berikut adalah kaedah-kaedah rawatan yang didapati tidak membatalkan puasa:
1)Menggunakan titis telinga atau pencuci telinga
2)Menggunakan ubat titis mata dan hidung, ataupun semburan hidung, sekiranya dielakkan menelan ke halkum
3)Ubah bawah lidah (sublingual-seperti GTN) untuk merawat sakit jantung.
4)Segala rawatan kedalam faraj seperti speculum, digital examination dan IUCD
5)Memasukkan tiub atau bahan melalui salur kencing seperti urethroscope, contrast media
6)Mencabut gigi, menampal, menggosok gigi selagi tidak ditelan
7)Suntikan pada mana-mana bahagian yang tidak melibatkan organ penghadaman, kecuali parenteral nutrition seperti glukosa atau dextrosa melalui salur darah.
8)Memberi gas oksigen, bius atau selainnya
9)Menyapu ubat pada kulit atau implan yang boleh diserap kedalam kulit
10)Memasukkan tiub melalui salur darah seperti catheterization
11)Memasukkan laparoscope
12)Ubat kumur dan semburan ubat ke dalam mulut, selagi tidak ditelan
13)Memasukkan teropong perut selagi tiada sebarang cecair atau bahan rawatan dimasukkan.
14)Mengambil sampel tisu atau organ untuk rawatan (biopsy)
15)Memasukkan alat ke otak atau saraf tunjang
16)Ubat sedutan seperti inhaler, nebulizer dan sebagainya
17)Memasukkan alat atau ubat melalui dubur (anus)
18)Menggunakan bius penuh (GA)selagi pesakit tidak dalam keadaan tersebut sepanjang hari
19)Hemodialysis atau peritoneal dialysis
20)Berbekam
21)Mengambil sampel darah untuk ujian makmal, menderma darah atau menerima darah


Para fuqaha kontemporari dalam persidangan antarabangsa memutuskan bahawa kaedah-kaedah rawatan diatas tidak membatalkan puasa. Tertelan air dalam kuantiti sangat kecil ketika menggunakan inhaler atau berkumur adalah dimaafkan. Namun begitu, jika procedur diatas dapat dielakkan untuk dilakukan di siang hari, maka itu lebih baik sebagai langkah berhati-hati.

InsyaAllah, semoga perkongsian ini bermanfaat buat rakan-rakan pembaca. Sebarang teguran atau komen amatlah digalakkan. Saya kongsikan juga artikel tulisan ustz Zaharuddin berkenaan perkara membatalkan puasa. Wallahualam. ^^
Artikel Ustz Zaharuddin

Wednesday, May 11, 2011

Ruqyah


Assalamualaikum. InsyaAllah kali ini saya cuba menulis serba sedikit mengenai ruqyah, sebagai salah cara perubatan yang diajar dalam Islam. Saya harap ilmu yang saya kongsikan ini serba sedikit bermanfaat buat rakan-rakan pembaca. Mohon teguran jika terdapat kesilapan atau kekurangan.

Dari Aisyah r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. apabila sakit beliau baca untuk dirinya sendiri surah muawwizat kemudian beliau tiupkan. Tatkala sakit beliau bertambah keras, kubacakan surah-surah itu keatasnya, kemudian kusapukan dengan tangannya dengan mengharapkan barakah daripadanya."
-sahih Bukhari (no.4085) dan Muslim (no.4066)-

Hadis diatas merupakan salah satu hadis yang mensyariatkan penggunaan ruqyah dalam mengubati sakit. Di sini juga dapat kita fahami bahawa kita sendiri boleh dan digalakkan mengubati diri sendiri menggunakan ruqyah dan doa berdasarkan kemampuan. Sesetengah orang berpendapat bahawa hanya ustaz atau ustazah yang boleh, tetapi hakikatnya diri sendiri sepatutnya merawat terlebih dahulu sebelum pergi kepada ustaz atau ustazah.

Ruqyah bukan semata-mata untuk mengubati sihir dan guna-guna, tetapi juga untuk penyakit fizikal seperti demam, sengatan dan lain-lain. Memang diakui bahawa sebahagian penyakit fizikal juga boleh terjadi disebabkan oleh jin/makhluk halus. Contohnya kes yang terjadi pada seorang pesakit ibu saya, dimana dia disahkan mempunyai cyst pada organ peranakannya, tetapi saiznya berubah-ubah setiap kali diperiksa. Perubatan dengan ruqyah mendapati cyst tersebut terjadi disebabkan oleh jin dan boleh diubati dengan ruqyah syariah.

Dari Auf Bin Malik Al-Asyja'i r.a. dia berkata, "Kami sering menggunakan mantera/ruqyah pada masa Jahiliah. Lalu kami tanyakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., 'Ya Rasulullah, bagaimana tentang mantera itu menurut engkau?' Beliau berkata, 'Tidak mengapa menggunakan mantera selama tidak mengandungi syirik"
-sahih Muslim (no.4079)-

Daripada hadis diatas, Rasulullah s.a.w. menetapkan bahawa ruqyah yang dibolehkan mestilah tidak mengandungi unsur-unsur syirik, iaitu pengharapan kepada sesuatu selain Allah, seperti menggunakan sihir. Ruqyah yang disyariatkan adalah menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa daripada hadis Nabi s.a.w.

Dalam hadis Abu Said Al-Khudri r.a., berkenaan sahabat yang melalui satu kampung dan meruqyah menggunakan surah Al-Fatihah, maka mereka pulang dan bertanya dengan Rasulullah s.a.w. Baginda menjawab, "Tidak tahukah kamu bahawa surah Al-Fatihah itu dapat digunakan untuk meruqyah?"
-sahih Bukhari (no.5303) dan Muslim (no.4080)-

Sebahagian ulama mengatakan boleh menggunakan mana-mana ayat Al-Quran sebagai ruqyah berdasarkan hadis di atas serta beberapa dalil Al-Quran seperti ayat 44 surah Fussilat, "Al-Quran adalah petunjuk dan penyembuh bagi orang-orang yang beriman". Antara ayat yang selalu di gunakan selain Al-Fatihah adalah ayat Kursi, lima ayat pertama dan dua ayat akhir surah Al-Baqarah, serta tiga surah terakhir (surah muawwizat).

Sesetengah ustaz yang telah biasa merawat dengan ruqyah menetapkan ayat-ayat tertentu berdasarkan pengalaman mereka. Bagi kita yang tidak biasa, cukuplah dengan surah-surah yang mudah ataupun doa-doa Nabi s.a.w. Berikut merupakan link artikel Ustz Zaharuddin yang memuatkan beberapa doa dari hadis Nabi s.a.w.
Panduan Ringkas Bacaan Doa Kesembuhan

Kita juga boleh memasang audio mp3 bacaan-bacaan Al-Quran sebagai salah satu cara. Kebanyakan ustaz yang memang berpengalaman merawat akan menasihatkan pesakit untuk memasang bacaan-bacaan Al-Quran setiap hari, kerana syaitan tidak senang mendengarnya.
Bagi yang mungkin disebabkan jin, kemungkinan untuk mengalami tanda-tanda itu tinggi, seperti menggigil, terasa sakit sewaktu membacanya dan sebagainya. Maka jalan yang terbaik ialah dengan merujuk ustaz atau ustazah yang berpengalaman.

Perlu kita fahami bahawa meruqyah ini memerlukan pengharapan yang tinggi kepada Allah Taala. Segala yang halal dan haram, dosa dan pahala perlu dijaga, sama sepertimana kita menginginkan doa-doa kita dikabulkan Allah. Sesungguhnya Allah yang menurunkan penyakit dan Dialah yang Maha Penyembuh. Amalkan zikir-zikir yang diajar baginda Nabi s.a.w. seperti pada waktu Subuh dan Asar, sebagai pelindung diri.

Kita juga tidak boleh melupakan ikhtiar dan usaha untuk menggunakan ubat atau rawatan lain, terutama bagi penyakit fizikal. Ini kerana Rasulullah s.a.w. juga menggunakan ubat seperti madu dan habbatus sauda untuk menyembuhkan penyakit. Maka, jadikanlah ruqyah ini sebagai pelengkap dalam rawatan kita.

"Allah tidak akan menurunkan penyakit melainkan Allah turunkan juga ubat baginya"
-sahih, riwayat Ibnu Majah, Al-Hakim-

Semoga kita sama-sama dapat ilmu yang bermanfaat dari artikel ini dan dapat mengamalkan dalam kehidupan kita. Mohon teguran jika terdapat salah dan silap. Allahu'alam. ^^

Monday, January 11, 2010

Pembentukan Manusia

Jika sebelum ini saya menceritakan tentang perubatan alternatif, penyakit-penyakit, maka post kali ini saya ingin kongsikan satu video mengenai pembentukan manusia. Proses pembentukan manusia yang kita pelajari pada masa kini ditulis oleh saintis dari barat pada kurun ke-20. Tetapi hakikatnya, proses pembentukan manusia itu sebenarnya telah diterangkan secara jelas oleh Allah didalam AlQuran 1400 tahun yang lalu.

Video ini sangat bagus dan sangat jelas dalam menerangkan bukti-bukti yang disampaikan dalam Al-Quran, dan pengakuan oleh saintis sendiri bahawa tidak mungkin Nabi Muhammad s.a.w. yang mengkaji pembentukan manusia tersebut, tetapi semuanya membuktikan bahawa baginda mengetahuinya melalui wahyu dari Allah Taala.

"Dan sungguh, Kami(Allah) telah menciptakan manusia dari saripati (berasal) dari tanah.
Kemudian Kami menjadikannya air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim).
Kemudian air mani itu Kami jadikan sesuatu yang melekat, lalu sesuatu yang melekat itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging.
Kemudian Kami menjadikannya makhluk yang (berbentuk) lain.
Mahasuci Allah, Pencipta paling baik."

-surah al-Mu'minun, ayat 12-14-

Monday, October 12, 2009

Kanser

InsyaAllah untuk post kali ini saya kongsikan serba sedikit pengetahuan mengenai kanser. Mungkin ramai yang tak tahu, dan ada juga yang kurang mengambil berat mengenainya. Langkah yang terbaik ialah dengan mencegah, dan langkah pertama untuk mencegah ialah dengan mencari ilmu, untuk mengenali kanser dan cara mencegahnya.

Tergerak untuk saya memilih tajuk ini, kerana ada dikalangan rakan saya sendiri yang sudah mempunyai masalah ini. Walaupun masih muda, masih belajar, tetapi kanser ini tidak mengenal usia. Saya berharap, dengan perkongsian ini kita sama-sama dapat mencegahnya, dan dapat mengingatkan rakan-rakan dan ahli keluarga kita.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tahun 2006, kanser merupakan penyebab kematian ketiga yang tertinggi di Malaysia, iaitu sebanyak 10.59%. Sebanyak 21,773 kanser dikesan pada tahun 2006, dengan 11,799 pesakit kanser terdiri daripada wanita dan 9,974 oleh lelaki. Antara jenis kanser yang sering dihidapi ialah kanser payudara, usus, paru-paru, pangkal rahim, nasopharynx dan prostat.
Malaysia Cancer Statistic 2006

Terdapat banyak faktor yang membawa kepada pembentukan kanser, daripada bahan kimia (chemical), radiasi, virus dan perwarisan daripada ahli keluarga. Prosesnya melibatkan perubahan pada DNA sel-sel, dan menyebabkan sel itu membahagi dengan tidak terkawal. Tumor (ketumbuhan) yang terbentuk itu akan mengganggu fungsi organ yang terlibat, dan akan merebak ke organ lain (metastasis). Salah satu simptom untuk mengetahui bahawa kita mempunyai kanser ialah penurunan berat badan dan kurang selera makan, kerana sel-sel yang abnormal ini berupaya menarik nutrient untuk proses pembahagiannya.

Kaedah rawatan konvensional masa kini, lebih tertumpu kepada chemotherapy dan pembedahan. Chemotherapy secara umumnya bertujuan menghapuskan sel-sel yang rosak tersebut, atau menghentikan tumbesarannya. Kelemahan rawatan ini ialah kesan sampingannya yang teruk dan menyakitkan. Pembedahan pula bertujuan membuang sel-sel yang rosak itu, terutama yang masih kecil dan belum merebak. Hasilnya selalunya menyebabkan pesakit itu terpaksa mengorbankan sebahagian organnya, dan sesetengah pembedahan juga boleh menyebabkan kanser tersebut merebak kebahagian yang lain. Kos rawatan juga sangat tinggi, tidak semua orang boleh menerima rawatan ini, terutama mereka dari golongan miskin dan sederhana.

Sanggupkah anda lalui semua itu? Cubalah tanya rakan, atau saudara mara anda yang mengalaminya, cuba selami perasaan mereka. Anda mungkin menangis jika anda letakkan diri anda pada tempat mereka.

Oleh itu, kita perlulah berusaha mencegahnya, dan sampaikan pada rakan-rakan yang tidak tahu. Tidak susah, pencegahannya boleh dilakukan oleh sesiapa saja, iaitu dengan menjaga pemakanan kita. Diet yang seimbang dan pemilihan yang betul akan membantu kita mencegah kanser.
Guide to Foods that Help Prevent Cancer

Pertama, kita perlu kurangkan makanan berlemak. Lemak binatang yang terdiri daripada lemak tepu (saturated fats) didapati sebagai salah satu faktor yang membawa kepada pembentukan kanser. Minyak tumbuhan yang dihasilkan melalui proses pemanasan pula terdiri dari trans fat, atau nama lainnya hydrogenated fat. Lemak ini sangat merbahaya, bukan saja membawa kepada penyakit jantung, malah boleh menyebabkan kanser. Antara bahan yang mengandungi banyak trans fat ialah marjerin, makanan sejuk beku, makanan bergoreng yang menggunakan minyak yang sama berulang kali.
Saturated fats and Intestinal Cancer
Trans fat linked to Breast Cancer

Kedua, mengurangkan pengambilan daging merah seperti daging lembu, kambing, dan juga daging yang diproses (sosej, berger). Prospective study yang dijalankan terhadap 500,000 orang, mendapati seramai 53,396 orang mendapat kanser selepas 8.2 tahun. Daging merah dan daging yang diproses didapati positif terhadap kanser usus dan paru-paru, disamping meningkatkan risiko mendapat kanser esophagus dan hati (liver).
Red and Processed Meat relation to Cancer Risk

Ketiga, perbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayuran, terutama yang mempunyai kandungan Vitamin A,C, E, beta carotene dan mineral. Vitamin C merupakan antioxidant berbentuk larut air (water-soluble) yang utama, manakala vitamin E pula sebagai antioxidant berbentuk larut lemak (fat-soluble). Antioxidant berfungsi melindungi sel daripada radikal bebas (free radical), yang merupakan penyebab kepada terjadinya kanser. Vitamin A dan beta-carotene (provitamin A) juga didapati dapat mencegah kanser, kerana fungsi utama vitamin ini ialah mengawal pertumbuhan dan pembezaan sel-sel badan. Kekurangan fungsi tersebut membawa kepada pembentukan kanser, dimana sel tersebut membentuk tisu jenis yang lain dan bukan sel yang sepatutnya.
Antioxidant and Cancer Prevention

Vitamin C terdapat banyak dalam buah-buahan sitrus, vitamin E dalam sayur-sayuran hijau dan beta-carotene dalam buah dan sayur yang mengandungi kandungan warna tinggi seperti lobak merah, apricot, sayur bayam. Jika terlalu malas untuk membeli buah-buahan, belilah multivitamin yang dijual difarmasi terdekat, insyaAllah ianya akan membantu kita mencegah berlakunya kanser dan hidup sihat sejahtera.

Seperti yang kita tahu, kanser juga boleh disebabkan oleh virus. Kajian terhadap minyak kelapa seperti yang saya tulis sebelum ini, yang mempunyai sifat antiviral, turut mampu mencegah kanser. MCT (medium chain triglyceride) juga mampu menghalang pembentukan radikal bebas, disamping monolaurin yang terbentuk didalam sel mampu membunuh enveloped virus, termasuk HIV.
MCT inhibit free radical formation & TNF-alpha production
Toxicology properties of MCT
Inactivation of enveloped virus
Coconut Research

Terdapat banyak lagi kajian yang dijalankan mengenai bahan antikanser. Contohnya gingko biloba, yang didapati mampu melawan kanser terutama payudara dan otak. Halia pula mengandungi selenium dan germanium yang tinggi, turut mampu mencegah kanser. Lingzhi (Ganoderma lucidum) seperti yang saya tulis sebelum ini. Kajian mendapati Lingzhi mempunyai 4 bahan aktif yang sangat baik iaitu polysaccarides, organic germanium, triterpenes dan superoxide dismutase. Bahan ini mampu meningkat immun sistem dan mempunyai sifat antikanser. Sebab itulah masyarakat Cina mengenali Lingzhi sebagai ubat yang memanjangkan hayat hidup.
Gingko biloba and Cancer
Garlic and Cancer Prevention
Ganoderma lucidum enhance innate immunity
Triterpenes inhibit growth of hepatoma
Triterpenes and their inhibitory activity agains HIV-1 protease

Begitulah serba sedikit langkah-langkah yang boleh kita ambil dalam mencegah kanser. Kita juga tidak boleh lupa kepada Pencipta kita, kerana Allah-lah yang mencipta penyakit ini dan hanya Dia yang mampu menyembuhkan kita. Pengharapan dan doa yang berterusan, dengan izinNya, akan memberikan kita kesihatan yang sejahtera.

Saya harap dengan perkongsian yang sedikit ini dapat membantu rakan-rakan pembaca. Mohon teguran atas silap dan salah, dan pertambahan ilmu dari pembaca jika ada, semoga dengan ilmu yang bermanfaat ini, akan membantu kita semua, insyaAllah.
=)

Saturday, September 12, 2009

Air sebagai ubat semulajadi


Air merupakan satu anugerah dari Tuhan yang mempunyai banyak kebaikan kepada manusia. Setiap hari kita pasti akan minum air, walaupun airnya berbeza rasa dan isipadunya, tetapi sejauh mana kita tahu tentang air tersebut, bagaimana fungsinya pada badan kita. Jadi insyaAllah pada post kali ini, saya ingin buka satu rahsia air dalam perubatan, yang mungkin ramai antara kita masih belum tahu.


Cuba kita fikirkan sebentar, kenapa apabila dunia semakin moden, pelbagai ubat dihasilkan, tetapi kadar penyakit dan kematian juga semakin meningkat? Manusia cuba menghasilkan ubat, berdasarkan pengetahuan dan pandangan mereka, tetapi tetap tidak boleh menyembuhkan semua penyakit yang diciptakan Tuhan. Sedangkan dalam hadis riwayat Bukhari, dari Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda "Bagi setiap penyakit yang diturunkan Allah, ada ubat yang juga diturunkanNya."

Dr. Batmanghelidj, M.D. berjaya menerangkan tentang kebenaran disebalik dunia perubatan, dan rahsia air sebagai ubat semulajadi. Beliau sedar akan rahsia ini, ketika dia dipenjarakan selama dua tahun tujuh bulan di Evin Prison. Dia sebagai seorang doktor bertauliah, merawat rakan sepenjaranya yang sakit ulser perut (peptic ulser) hanya dengan memberikannya dua gelas air. Dalam masa lebih kurang 8 minit, sakitnya hilang.

Mulai dari peristiwa itu, Dr, Batmanghelidj menyuruhnya minum dua gelas air setiap 3 jam, dan rakannya itu sembuh sepenuhnya. Beliau berjaya menyembuhkan 3000 rakan penjaranya yang menderita 'stress-induced peptic ulcer' hanya dengan menggunakan air. Sepanjang beliau berada dipenjara tersebut, beliau telah melakukan eksperimennya tentang kesan penyembuhan air, dan hasil kajiannya berjaya dikeluarkan dalam Journal of Clinical Gastroenterology pada June 1983.
Biography of F. Batmanghelidj, MD

Konsepnya sangat mudah, iaitu mengembalikan badan kepada keadaan fisiologinya yang normal. Air merupakan elemen yang sangat penting dalam setiap proses fisiologi tubuh, sebagai pelarut dan pembawa bahan-bahan penting. Lebih kurang 75% daripada isipadu badan, dan 85% daripada otak kita terdiri daripada air. Apabila badan kekurangan elemen penting ini, maka badan akan menunjukkan "dis-ease", keadaan tidak senang atau kata lainnya ialah penyakit. Keadaan ini lama-kelamaan akan membawa kepada penyakit degeneratif yang selalu masyarakat kita hadapi.

Keadaan ini dipanggil sebagai Unintentional Chronic Dehydration (UCD), yang merupakan salah satu penyebab penyakit badan, termasuk kanser. Hasil kajian Dr Batmanghelidj selama 18 tahun, dan pengalaman 33 tahun sebagai doktor, akhirnya berjaya menemui ubat yang sangat mudah didapati oleh semua orang, iaitu air.
UCD: A New Medical Discovery

Kekurangan air tidak semestinya ketika kita sedang kehausan, tetapi keadaan sakit itu sendiri merupakan tanda-tanda badan kita kekurangan air. Dalam bukunya, 'Water Cures: Drugs Kill', beliau menyatakan bahawa apabila umur semakin meningkat, otak semakin lambat dalam memberitahu kita bahawa kita sedang kehausan. Antara sebabnya adalah kerana otak tersebut sudah "adapted" dengan keadaan kekurangan air itu, dan haus hanya terasa apabila level air dalam badan betul-betul rendah dari nilai yang disetkan oleh otak. Jadi, kita tidak boleh minum air hanya ketika haus, tetapi minumlah untuk membekalkan air secukupnya, untuk fisiologi tubuh yang baik.

Air yang secukupnya mampu mencegah dan merawat penyakit-penyakit seperti sakit ulu hati (heartburn), sakit sendi (arthritis), sakit belakang (backpain), asma, dan migraine. Penyakit kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi, dan kanser, yang merupakan penyebab kepada kematian dikalangan masyarakat hari ini, semuanya boleh disembuhkan dengan minum air yang secukupnya, dengan izin Allah Taala.

"Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak karuniaNya. Dia memberikan kebaikan kepada siapa saja yang Dia kehendaki di antara hamba-hambaNya. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang"
-surah Yunus, 10:107-

Bagaimana kita ingin tahu bahawa kita kekurangan air? Salah satu cara yang mudah ialah dengan memerhati warna air kencing kita. Air kencing yang jernih menunjukkan air yang mencukupi, semakin kuning air kencing kita, bermakna semakin teruk dehidrasi kita. Kesan dehidrasi pula ialah mudah penat, kulit, bibir dan mulut yang kering, stres, pening kepala, asma, sakit belakang, darah tinggi dan banyak lagi.

Jadi, minumlah air secukupnya, tiap kali bangun tidur, ketika belajar, dan bila-bila saja. Air yang terbaik ialah air kosong, kurangkan minum air manis. Bawalah air setiap masa, dan jadikan sebagai satu tabiat. Percayalah, bahawa kita sendiri boleh merawat setiap penyakit, dan jangan lupa untuk meletakkan pengharapan pada Allah, Tuhan Yang Maha Penyembuh.
Frequently asked questions

Sebagai manusia, kita akhirnya akan kembali kepada ciptaan Allah itu sendiri, hanya Tuhan yang mengetahui keperluan hamba-hamba yang diciptakanNya. Banyak lagi penerangan mengenai air ini, tetapi tidak saya ceritakan sepenuhnya dalam post ini. Saya cuma mengharapkan agar kita sedar tentang perkara ini, dan mencari sendiri rahsia air tersebut, insyaAllah.

Maklumat selanjutnya, layari www.watercure.com

Sunday, July 26, 2009

H1N1..!!!

Sekarang, seluruh dunia telah kacau bilau dengan penularan selsema babi (H1N1). WHO telah mengisytiharkan H1N1 sebagai 'pandemic', kerana penyebarannya diseluruh dunia, dilaporkan lebih daripada 158 negara yang terbabit.

H1N1 dikenali sebagai selsema babi (swine flu) kerana ianya berasal daripada khinzir(babi). Khinzir boleh dijangkiti oleh pelbagai virus, mahupun dari manusia ataupun dari binatang. Virus yang bermacam jenis ini hidup bersama dan mampu 'berevolusi' menghasilkan subtype virus yang baru. Apabila keadaan ini berlaku, amat sedikit atau tiada orang yang mempunyai immunisasi terhadap virus itu, dan keadaan ini dipanggil sebagai antigenic shift.
Key Facts about Swine Flu

Melalui laporan CDC (Centers for Disease Control & Prevention), H1N1 kini di Fasa 6, menunjukkan tahap penyebaran yang tinggi dikalangan masyarakat. Setakat ini di Malaysia, belum ada pesakit yang dilaporkan mati disebabkan oleh wabak H1N1 ini. Yang merbahaya setakat ini ialah tahap penularan dan jangkitannya, bukan disebabkan tahap bahaya (severity) wabak ini. Menurut CDC, penyebaran wabak H1N1 kini turut diikuti oleh penyebaran virus influenza (seasonal influenza) yang lain.

Di Malaysia, terdapat 1,124 kes telah dilaporkan setakat hari ini (27hb Julai). Daripada jumlah ini, hanya 10 kes (1%) yang menerima rawatan anti-viral di hospital, dan lapan kes menerima rawatan di rumah. Yang terbaru, 2 kes kematian dilaporkan, seorang warga Indonesia dan seorang warga Belgium. Walaupun jumlah yang di sahkan teruk itu sedikit, kementerian kesihatan masih meneruskan kempen agar wabak itu tidak menjadi lebih teruk. Dikalangan rakan-rakan pun sudah ramai yang batuk-batuk dan demam, dan kini disahkan ada pelajar yang dijangkiti H1N1.
Situasi Semasa H1N1 (MOH)

Simptom-simptom (tanda pada pesakit) yang perlu kita ambil berat ialah influenza-like illness (ILI), iaitu demam, batuk, sakit tekak, masalah pernafasan, sakit kepala. Penyebaran H1N1 adalah melalui molekul air (droplet) daripada pernafasan, terutama ketika batuk dan bersin. Jika seseorang yang terpegang objek yang dikotori virus tersebut, dan menggunakan tangannya untuk makan, juga menyebabkan ianya terjangkit. Secara mudahnya, jangkitan virus ini melibatkan sistem pernafasan.
Guidance for Clinician

Sebagai langkah pencegahan, pakailah topeng muka untuk mengelakkan jangkitan secara terus (direct contact). Jika ingin makan, basuh tangan terlebih dahulu. Ini hanyalah pencegahan dari aspek fizikal. Bagi pencegahan dari aspek dalaman pula memerlukan sistem immun yang kuat dan pemakanan yang mempunyai bahan anti-viral untuk mengelakkan jangkitan. Bahan anti-viral semulajadi yang diketahui ramai dan mudah didapati ialah melalui minyak kelapa dara (VCO). Asid lemak rantai sederhananya (monolaurin) mempunyai sifat anti-virus, anti-bacteria dan anti-fungi. Ianya tidak merbahaya kepada badan dan termasuk sebagai GRAS (Generally Recognize as Safe).
Coconut Oil for AIDS & Other Viral Infection
Facts about Monolaurin

Walaupun VCO tidak spesifik seperti ubat anti-viral yang diberikan di klinik, tetapi kesannya telah terbukti. Dr Mary Enig dalam artikel yang saya sertakan diatas mengatakan bahawa monolaurin mampu menyahaktifkan pathogen seperti HIV, measles, vercular stomatitis virus (VSV), herpes simplex virus (HSV), visna, cytomegalovirus, influenza virus dan bermacam lagi. Monolaurin melarutkan lipid didalam virus lalu merosakkan selaput (envelope) virus tersebut. Jadi, minyak kelapa dara sangat penting sebagai pencegahan awal, dan insyaAllah sebagai ubat kepada H1N1. InsyaAllah dengan pengambilan air kelapa bersama isinya juga mempunyai kesan sama, cuma kesan terapeutiknya kurang berbanding VCO.
Coconut Research

Saya harapkan dengan apa yang saya kongsikan ini bermanfaat untuk rakan-rakan, dan mohon teguran jika terdapat kesilapan. Saya berharap agar kita tahu tentang apa yang berlaku, agar mudah kita menjauhi kemudaratan yang akan berlaku. Bagi rakan-rakan yang sakit, semoga cepat sembuh dan diberikan kekuatan.

Semoga kita sama-sama dapat menjaga tahap kesihatan dengan sebaik mungkin, dan yang lebih penting, berdoa agar penyakit ini tidak terus merebak dan dipermudahkan kita melaluinya. Ada sebabnya Allah jadikan penyakit ini, agar kita sedar akan kesilapan kita sebagai manusia, dan sedar bahawa manusia ini tidak berkuasa, tetapi Allah-lah yang berkuasa atas setiap sesuatu. =)

"Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak karuniaNya. Dia memberikan kebaikan kepada siapa saja yang Dia kehendaki di antara hamba-hambaNya. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang"

-surah Yunus, 10:107-

"Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hambaNya."
-surah Fussilat, 41:46 -