Sunday, July 31, 2011

Berubat ketika berpuasa


Assalamualaikum. InsyaAllah post kali ini saya ingin kongsikan hal berkaitan fiqh perubatan yang melibatkan ibadah puasa. Kebanyakan isinya saya petik dari buku "Fikah Perubatan" tulisan Dr Harmy Mohd Yusoff, Ustz Syamsul Kamal Abdullah, Dr Rosediani Muhamad dan Wan Nor Ainon Wan Abdullah terbitan PTS Milennia Sdn Bhd.

Terdapat lima perkara membatalkan puasa yang umum kita ketahui, iaitu
1)Memasukkan benda ke dalam perut atau rongga badan
2)Keluarnya darah dan muntah
3)Bersetubuh dengan pasangan isteri dan perkara berkaitan
4)Murtad
5)Mengubah niat

Untuk post ini, saya cuma ingin menekankan mengenai perkara pertama, iaitu memasukkan benda selain makanan dan minuman ke dalam perut atau rongga badan. Terdapat 3 kategori pendapat para ulama mengenai perkara ini.

Pendapat pertama menyatakan rongga badan tidak terbatas kepada perut sahaja, ia merangkumi tekak, otak, saluran kencing, faraj dan lain-lain yang boleh dimasuki benda. Pendapat ini adalah pendapat mazhab Hanafi, sebahagian ulama Maliki, Syafie dan Hanbali, namun ada sedikit perbezaan dalam takrifan rongga tersebut.

Mazhab Hanafi menyatakan tidak batal puasa apabila bercelak, berbekam, memberus gigi walaupun air memenuhi mulut, berkumur dan instinsyaq (sedut air dalam hidung)secara sederhana, dimana air tidak sampai ke tekak. Mazhab Syafie mentakrifkan perkara yang sama tetapi menambah rongga telinga dan hidung.

Pendapat kedua mengatakan batal puasa seseorang apabila benda dimasukkan kedalam rongga-rongga tersebut, walaupun benda tersebut tidak sampai ke perut.

Pendapat ketiga berpendapat rongga tersebut mesti mempunyai kaitan dalam memproses makanan atau ubat-ubatan. Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qudamah antara yang menyatakan rongga yang membatalkan hanyalah perut.

Ibnu Taimiyah dari mazhab Hanbali berpendapat, "Ibadah puasa adalah salah satu fardhu ain yang perlu diketahui oleh setiap Muslim. Sekiranya ia termasuk perkara yang dilarang oleh Allah dan RasulNya serta membatalkan puasa, sudah tentu ia disebut jelas. Sekiranya Rasulullah pernah menyebutnya, sudah tentu para sahabat mengetahuinya dan menyampaikannya kepada umat, sama seperti mereka menyampaikan syariat yang lain."

Ulasan penulis mengenai pendapat pertama, menyatakan bahawa rongga yang dimaksudkan tidak berhubung dengan perut berdasarkan kajian perubatan moden. Pendapat kedua pula tidak berdasarkan nas yang jelas dari AlQuran ataupun AsSunnah. Maka pendapat ketiga adalah yang paling benar dan selari dengan nas.

Berikut adalah kaedah-kaedah rawatan yang didapati tidak membatalkan puasa:
1)Menggunakan titis telinga atau pencuci telinga
2)Menggunakan ubat titis mata dan hidung, ataupun semburan hidung, sekiranya dielakkan menelan ke halkum
3)Ubah bawah lidah (sublingual-seperti GTN) untuk merawat sakit jantung.
4)Segala rawatan kedalam faraj seperti speculum, digital examination dan IUCD
5)Memasukkan tiub atau bahan melalui salur kencing seperti urethroscope, contrast media
6)Mencabut gigi, menampal, menggosok gigi selagi tidak ditelan
7)Suntikan pada mana-mana bahagian yang tidak melibatkan organ penghadaman, kecuali parenteral nutrition seperti glukosa atau dextrosa melalui salur darah.
8)Memberi gas oksigen, bius atau selainnya
9)Menyapu ubat pada kulit atau implan yang boleh diserap kedalam kulit
10)Memasukkan tiub melalui salur darah seperti catheterization
11)Memasukkan laparoscope
12)Ubat kumur dan semburan ubat ke dalam mulut, selagi tidak ditelan
13)Memasukkan teropong perut selagi tiada sebarang cecair atau bahan rawatan dimasukkan.
14)Mengambil sampel tisu atau organ untuk rawatan (biopsy)
15)Memasukkan alat ke otak atau saraf tunjang
16)Ubat sedutan seperti inhaler, nebulizer dan sebagainya
17)Memasukkan alat atau ubat melalui dubur (anus)
18)Menggunakan bius penuh (GA)selagi pesakit tidak dalam keadaan tersebut sepanjang hari
19)Hemodialysis atau peritoneal dialysis
20)Berbekam
21)Mengambil sampel darah untuk ujian makmal, menderma darah atau menerima darah


Para fuqaha kontemporari dalam persidangan antarabangsa memutuskan bahawa kaedah-kaedah rawatan diatas tidak membatalkan puasa. Tertelan air dalam kuantiti sangat kecil ketika menggunakan inhaler atau berkumur adalah dimaafkan. Namun begitu, jika procedur diatas dapat dielakkan untuk dilakukan di siang hari, maka itu lebih baik sebagai langkah berhati-hati.

InsyaAllah, semoga perkongsian ini bermanfaat buat rakan-rakan pembaca. Sebarang teguran atau komen amatlah digalakkan. Saya kongsikan juga artikel tulisan ustz Zaharuddin berkenaan perkara membatalkan puasa. Wallahualam. ^^
Artikel Ustz Zaharuddin

Wednesday, May 11, 2011

Ruqyah


Assalamualaikum. InsyaAllah kali ini saya cuba menulis serba sedikit mengenai ruqyah, sebagai salah cara perubatan yang diajar dalam Islam. Saya harap ilmu yang saya kongsikan ini serba sedikit bermanfaat buat rakan-rakan pembaca. Mohon teguran jika terdapat kesilapan atau kekurangan.

Dari Aisyah r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. apabila sakit beliau baca untuk dirinya sendiri surah muawwizat kemudian beliau tiupkan. Tatkala sakit beliau bertambah keras, kubacakan surah-surah itu keatasnya, kemudian kusapukan dengan tangannya dengan mengharapkan barakah daripadanya."
-sahih Bukhari (no.4085) dan Muslim (no.4066)-

Hadis diatas merupakan salah satu hadis yang mensyariatkan penggunaan ruqyah dalam mengubati sakit. Di sini juga dapat kita fahami bahawa kita sendiri boleh dan digalakkan mengubati diri sendiri menggunakan ruqyah dan doa berdasarkan kemampuan. Sesetengah orang berpendapat bahawa hanya ustaz atau ustazah yang boleh, tetapi hakikatnya diri sendiri sepatutnya merawat terlebih dahulu sebelum pergi kepada ustaz atau ustazah.

Ruqyah bukan semata-mata untuk mengubati sihir dan guna-guna, tetapi juga untuk penyakit fizikal seperti demam, sengatan dan lain-lain. Memang diakui bahawa sebahagian penyakit fizikal juga boleh terjadi disebabkan oleh jin/makhluk halus. Contohnya kes yang terjadi pada seorang pesakit ibu saya, dimana dia disahkan mempunyai cyst pada organ peranakannya, tetapi saiznya berubah-ubah setiap kali diperiksa. Perubatan dengan ruqyah mendapati cyst tersebut terjadi disebabkan oleh jin dan boleh diubati dengan ruqyah syariah.

Dari Auf Bin Malik Al-Asyja'i r.a. dia berkata, "Kami sering menggunakan mantera/ruqyah pada masa Jahiliah. Lalu kami tanyakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., 'Ya Rasulullah, bagaimana tentang mantera itu menurut engkau?' Beliau berkata, 'Tidak mengapa menggunakan mantera selama tidak mengandungi syirik"
-sahih Muslim (no.4079)-

Daripada hadis diatas, Rasulullah s.a.w. menetapkan bahawa ruqyah yang dibolehkan mestilah tidak mengandungi unsur-unsur syirik, iaitu pengharapan kepada sesuatu selain Allah, seperti menggunakan sihir. Ruqyah yang disyariatkan adalah menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa daripada hadis Nabi s.a.w.

Dalam hadis Abu Said Al-Khudri r.a., berkenaan sahabat yang melalui satu kampung dan meruqyah menggunakan surah Al-Fatihah, maka mereka pulang dan bertanya dengan Rasulullah s.a.w. Baginda menjawab, "Tidak tahukah kamu bahawa surah Al-Fatihah itu dapat digunakan untuk meruqyah?"
-sahih Bukhari (no.5303) dan Muslim (no.4080)-

Sebahagian ulama mengatakan boleh menggunakan mana-mana ayat Al-Quran sebagai ruqyah berdasarkan hadis di atas serta beberapa dalil Al-Quran seperti ayat 44 surah Fussilat, "Al-Quran adalah petunjuk dan penyembuh bagi orang-orang yang beriman". Antara ayat yang selalu di gunakan selain Al-Fatihah adalah ayat Kursi, lima ayat pertama dan dua ayat akhir surah Al-Baqarah, serta tiga surah terakhir (surah muawwizat).

Sesetengah ustaz yang telah biasa merawat dengan ruqyah menetapkan ayat-ayat tertentu berdasarkan pengalaman mereka. Bagi kita yang tidak biasa, cukuplah dengan surah-surah yang mudah ataupun doa-doa Nabi s.a.w. Berikut merupakan link artikel Ustz Zaharuddin yang memuatkan beberapa doa dari hadis Nabi s.a.w.
Panduan Ringkas Bacaan Doa Kesembuhan

Kita juga boleh memasang audio mp3 bacaan-bacaan Al-Quran sebagai salah satu cara. Kebanyakan ustaz yang memang berpengalaman merawat akan menasihatkan pesakit untuk memasang bacaan-bacaan Al-Quran setiap hari, kerana syaitan tidak senang mendengarnya.
Bagi yang mungkin disebabkan jin, kemungkinan untuk mengalami tanda-tanda itu tinggi, seperti menggigil, terasa sakit sewaktu membacanya dan sebagainya. Maka jalan yang terbaik ialah dengan merujuk ustaz atau ustazah yang berpengalaman.

Perlu kita fahami bahawa meruqyah ini memerlukan pengharapan yang tinggi kepada Allah Taala. Segala yang halal dan haram, dosa dan pahala perlu dijaga, sama sepertimana kita menginginkan doa-doa kita dikabulkan Allah. Sesungguhnya Allah yang menurunkan penyakit dan Dialah yang Maha Penyembuh. Amalkan zikir-zikir yang diajar baginda Nabi s.a.w. seperti pada waktu Subuh dan Asar, sebagai pelindung diri.

Kita juga tidak boleh melupakan ikhtiar dan usaha untuk menggunakan ubat atau rawatan lain, terutama bagi penyakit fizikal. Ini kerana Rasulullah s.a.w. juga menggunakan ubat seperti madu dan habbatus sauda untuk menyembuhkan penyakit. Maka, jadikanlah ruqyah ini sebagai pelengkap dalam rawatan kita.

"Allah tidak akan menurunkan penyakit melainkan Allah turunkan juga ubat baginya"
-sahih, riwayat Ibnu Majah, Al-Hakim-

Semoga kita sama-sama dapat ilmu yang bermanfaat dari artikel ini dan dapat mengamalkan dalam kehidupan kita. Mohon teguran jika terdapat salah dan silap. Allahu'alam. ^^